Thursday, May 25, 2017

Filled Under:

Ancaman hama kepada kesihatan

oleh DR. AMRAN AHMAD
MUNGKIN anda tidak menyangka bahawa di dalam rumah anda terdapat satu ancaman kesihatan yang agak berbahaya.

Setiap malam apabila anda masuk tidur tentu anda hanya memikirkan keselamatan dari segi sama ada pintu dan tingkap rumah telah dikunci atau tidak.
Tetapi adakah anda tahu bahawa ada `musuh' di dalam rumah anda yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Bukan satu, tetapi mungkin beribu-ribu!
`Musuh' yang dimaksudkan ialah hama atau tungau yang selalu bermastautin di dalam selimut, tilam dan bantal anda. Walaupun ia kecil dan tidak kelihatan, ia mengancam kesihatan lebih daripada 80 peratus penghidap penyakit lelah atau asma.
Ancaman hama kepada kesihatan anda tidak harus diperkecilkan. Hama merupakan salah satu penyebab utama lelah dan alahan kulit.
Kewujudan hama bergantung kepada tahap kebersihan dan kelembapan rumah anda. Biasanya, rumah yang terletak di kawasan cuaca dan altitud seperti Malaysia akan mengalami masalah hama dan pembersihan biasa mungkin tidak cukup untuk membasmi hama tersebut. Rumah yang tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik juga akan memburukkan masalah ini.
Apakah makanan hama? Hama hidup dengan memakan habuk yang terdiri daripada kulit-kulit mati yang dibuang secara semula jadi daripada badan sewaktu anda tidur.
Seperti manusia, hama juga perlu berkumuh. Bahan kumuh yang dihasilkan oleh hama mengandungi enzim yang digunakan untuk penghadaman kulit manusia. Apabila dihidu oleh manusia, bahan kumuh tersebut boleh merosakkan paru-paru dan memudahkan kewujudan tanda-tanda penyakit yang selalunya disebabkan alergen lain, debunga dan pencemaran alam.
Jika penyakit lelah berpanjangan disebabkan hama, ia boleh menyebabkan komplikasi dan pesakit mungkin perlu meningkatkan pengambilan ubat atau dimasukkan ke dalam hospital. Penyakit lelah boleh membawa maut dan lebih baik berjaga-jaga daripada serangan lelah sebelum terlambat.
Adalah lebih mudah untuk mengelakkan penyakit seperti lelah atau penyakit lain yang disebabkan alahan daripada merawatnya. Memandangkan ancaman yang dibawa oleh hama kepada kesihatan manusia, adalah agak menghairankan apabila ia tidak diberi kepentingan oleh kebanyakan orang.
Ada kajian yang menunjukkan bahawa penyakit lelah seseorang akan berkurangan apabila mereka tinggal di rumah yang bebas daripada hama. Mengawal tahap hama di rumah anda juga boleh mengelakkan seseorang yang sihat daripada menjadi sensitif kepada kesan hama.
Tilam, bantal dan selimut merupakan pusat pembiakan hama. Memandangkan anda menghabiskan hampir satu pertiga masa hidup di atas katil, adalah baik jika masalah hama rumah dikawal atau dihapuskan sama sekali.
Cara menghapuskan hama
Hama tidak boleh dihapuskan secara keseluruhan tetapi langkah-langkah berikut boleh mengelakkan sebarang masalah kesihatan disebabkan serangan lelah atau alergi dan sekali gus mengelakkan pembaziran wang:

- Gunakan sarung tilam atau bantal antihama. Sarung tilam dan bantal yang dimaksudkan ini mengandungi pyrethroid sintetik dan terbukti berkesan dalam mengawal kewujudan hama dalam masa dua tahun. Malahan, dos yang amat rendah akan menghapuskan hama yang ada.
Pyrethroid sintetik adalah kompaun yang sangat stabil di bawah cuaca sederhana dan boleh memberikan perlindungan yang baik di kawasan tropik seperti di Malaysia. Permethrin selamat digunakan dan telah didaftarkan di bawah Persatuan Kesihatan Antarabangsa (WHO) dan diluluskan oleh Eksekutif Kesihatan dan Keselamatan Britain. Anda boleh mendapatkan sarung tilam dan bantal antihama di farmasi berdekatan anda.
- Kerap mengudarakan rumah. Rumah yang tidak mempunyai pengudaraan yang baik boleh meningkatkan tahap kelembapan dan menggalakkan pembiakan hama. Menggunakan penyaman udara boleh mengurangkan masalah kelembapan udara.
- Elakkan perabot yang mudah mengumpul habuk. Gunakan perabot yang dibuat daripada kayu, kulit atau sofa plastik dan cuba elakkan perabot yang dibuat daripada kain. Elakkan juga perabot yang mempunyai ukiran berlebihan.
- Pastikan tempat tidur sentiasa bersih. Basuh sarung bantal, selimut dan cadar setiap selang seminggu menggunakan air panas dengan suhu melebihi 130 darjah Fahrenheit.
- Vakum dan lap rumah dengan kain lembap. Pastikan anda menggunakan alat vakum yang dilengkapi dengan air filter.
Jika tidak, tingkap harus dibuka ketika memvakum supaya habuk yang dikeluarkan oleh vakum tidak terkumpul di dalam rumah.
- Kurangkan penggunaan permaidani. Permaidani merupakan tempat pembiakan yang sesuai untuk hama dan boleh menyebabkan alahan kepada mereka yang sensitif kepada habuk dan hama. Lantai kayu, vinyl atau linoleum lebih bagus kerana mudah untuk dibersihkan.
- Beli permainan yang boleh dicuci. Apabila membeli barang permainan untuk anak anda, pastikan ia boleh dibasuh dengan mesin pencuci.
- Elakkan langsir berhabuk. Basuh langsir anda sekerap yang mungkin menggunakan air panas. Anda juga boleh menggunakan tabir plastik kerana ia kurang mengumpul habuk berbanding langsir atau tabir kain.
- Gantung baju di dalam almari. Sangkut baju anda di dalam almari dan pastikan pintu almari sentiasa ditutup.
- Elakkan bulu binatang atau binatang peliharaan. Jika anda memelihara binatang seperti anjing atau kucing, mandikan dan sikatkan ia selalu untuk mengelakkan keguguran bulu yang berlebihan.
Dr. Amran Ahmad adalah Ketua Penasihat Perubatan di Pharmvision Ventures Sdn. Bhd. Jika anda ada sebarang kemusykilan mengenai kesihatan, anda boleh hantarkan pertanyaan anda di ruangan Ask The Doctor di laman web kami di www.pharmvision.com atau e-mel kepada enqiry@pharmvision.com. Anda boleh menghubungi syarikat kami di 9-3, Tingkat 9, Menara Millennium, Jalan Damanlela, Pusat Bandar Damansara, Damansara Heights, 50490 Kuala Lumpur.







0 ulasan:

Post a Comment