Sunday, May 28, 2017

Filled Under:

Rahsia rezeki melimpah-ruah

Oleh Mohd Hassan Adli Yahya
Berhampiran butik jubah lelaki saya di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, ada sebuah warung yang menyediakan juadah sarapan pagi. Kalau dilihat dari mata kasar, warung itu ala kadar saja tetapi setiap hari pasti penuh dengan orang yang mahu bersarapan hingga kadang­kala terpaksa beratur menanti giliran.
Hidangan yang disediakan pula menu dari pantai timur yang pastinya menggamit sesuatu di luar kebiasaan bagi penduduk Lembah Klang.
Suatu hari, saya tiba sedikit awal di situ. Kebetulan lauk-pauk dan makanan tiba agak lewat pada pagi berkenaan. Maka, saya pun duduklah dulu di kerusi sementara menanti juadah sampai.
Dalam ramai pelanggan yang menanti, saya perasan warung itu turut ‘bising’ dengan bunyi kucing yang seakan kelaparan. Tak silap saya ada enam atau tujuh ekor kucing pada waktu itu yang turut menanti makanan.
Selepas menunggu kira-kira 20 minit, van membawa makanan pun tiba. Pilihan menu sarapan saya pagi itu ialah nasi kerabu dan daging goreng. Ketika mengambil lauk, saya terlihat seorang pakcik berdiri di hujung warung berhampiran tempat menggoreng ayam.
Saya lihat di kakinya kucing mengiau-ngiau seperti meminta makanan daripadanya. Telahan saya, mungkin ini tuan kedai. Mungkin dia yang sering memberi makanan kerana kucing sangat mengenali tuannya.
Ya, telahan saya tepat. Tak lama selepas itu saya lihat pakcik tadi mengambil ayam goreng yang masih panas, memotongnya dengan pisau dan diberikan kepada kucing-kucing itu. Tiada lagi kedengaran suara kucing. Mungkin sudah kenyang agaknya.
Saya tersenyum sendirian dan yakin ini antara rahsia mengapa warung buruk ini berjaya menarik begitu ramai pelanggan.
Sifat pemurah pakcik ini terhadap kucing jalanan sebenarnya menjadi magnet untuk menarik rezeki yang lebih besar padanya.
Saya terpanggil untuk berkongsi pandangan terhadap persepsi sesetengah anggota masyarakat yang mempunyai tanggapan takut rugi atau membazir yang seolah-olah tidak percaya pada kuasa pemberi rezeki.
Sebenarnya masih ramai peniaga sangat berkira untuk berkongsi perniagaannya bersama orang lain atau makhluk Allah lain. Contohnya, apabila ada kucing datang meminta makanan, dihalau terus haiwan itu.
Malah, ada yang keterlaluan hingga sanggup menyimbah kucing dengan air atau minyak panas hingga melecur hanya disebabkan haiwan itu masuk dan mengintai makanan.
Begitu juga dengan tanggapan sesetengah masyarakat kononnya kucing hanya layak menerima sisa makanan atau makanan basi. Ia kerana mereka rasa rugi besar untuk memberi makanan elok kepada haiwan ini.
Saya juga tersentuh untuk berkongsi sikap segelintir peniaga yang terlalu berkira dengan pelanggan. Pada zaman bujang dulu, saya pernah singgah ke pasar malam untuk membeli makanan.
Saya pergi ke sebuah gerai untuk membeli nasi campur dan meminta peniaga itu membungkuskan ikan bilis sambal pada harga RM2. Ketika itu saya masih bujang dan lauk yang dibeli hanya untuk saya makan seorang. Kalau beli banyak dan tak habis, membazir pula nanti.
Namun peniaga itu menjawab: “Minta maaf, kalau nak beli paling sikit RM4.”
Saya menjelaskan bahawa lauk itu untuk saya seorang saja makan tetapi dia bertegas tidak mahu melayan saya lagi.
Saya hairan mengapa perlu terlalu berkira. Bukannya saya minta percuma, cuma mahu membeli dalam kuantiti yang sedikit. Pada saya, jika pelanggan minta sedikit, letak saja sedikit. Bukankah menyampaikan hajat orang itu sangat besar ganjarannya.
Sebenarnya inilah masalah yang dalam kebanyakan kita pada hari ini. Selalu menginginkan rezeki yang banyak dan terbaik tapi tidak sedia untuk memberi yang terbaik daripada kita. Kita kadangkala tidak percaya kepada ‘The Power of Giving’.
Pepatah ada mengatakan, ‘The more you give, the more you will get back.’ (Lebih banyak yang kita beri, lebih banyak yang kita dapat balik). Inilah rahsia sahabat Nabi SAW seperti Abu Bakar As-Siddiq dan Abdul Rahman Auf, jutawan yang sering memberikan hartanya yang terbaik pada perjuangan Islam.
Natijahnya, sahabat berkenaan dijanjikan Rasulullah SAW sebagai ahli syurga sewaktu hayat mereka lagi. Tanyalah juga kepada jutawan di Malaysia, pasti ada cerita dan rahsia di sebalik rezeki mereka yang melimpah-ruah dan tidak putus-putus itu.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 1:36 AM




0 ulasan:

Post a Comment