Thursday, May 25, 2017

Filled Under:

Hikmah Solat Jumaat


HARI Jumaat – hari yang memang berbeza daripada hari-hari yang lain. Dari sudut lahiriah, hari Jumaat terasa lainnya kerana pada hari ini wanita-wanita yang bekerja akan memakai baju kurung. Malahan pelajar sekolah juga diwajibkan berbaju kurung bergantung kepada kehendak dan jenis sekolah. Bagi lelaki Muslim pula, mereka kelihatan segak dan bergaya dengan memakai baju Melayu. Pemandangan sebegini setidak-tidaknya membezakan hari Jumaat dengan hari-hari yang lain.

Adakah itu saja yang kita dapat atau pelajari?

Jumaat juga berbeza daripada hari-hari yang lain kerana pada hari ini, lelaki Muslim akan mengerjakan solat Jumaat di masjid. Kedai-kedai, pejabat, jalan raya, pusat beli belah, kedai kopi dan di mana-mana tidak akan terlihat kelibat lelaki Muslim ketika solat Jumaat berlangsung. Di Bandar, kampung atau luar negara yang mempunyai sebilangan lelaki Muslim, akan sunyi seketika tanpa kehadiran mereka.

Suatu waktu dahulu, kita akan merasa pelik dan memandang serong kelibat lelaki Muslim yang ‘berkeliaran’ ketika solat Jumaat sedang berlangsung. Jika tidak boleh bersolat Jumaat atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan, mereka tidak akan merayau-rayau atau memunculkan diri pada waktu solat Jumaat. Mereka yang terlupa ini berjalan ke sana sini tanpa rasa hormat kepada solat Jumaat yang sepatutnya ditunaikan. Juga tiada rasa malu yang wujud dalam jiwa mereka apabila dengan megahnya memimpin tangan pasangan yang bukan muhrim, berjalan-jalan ‘mencuci mata’ di pusat membeli belah, pusat hiburan dan sebagainya. Malahan, ada juga yang mengambil kesempatan berpeleseran di taman bunga atau memadu kasih di mana-mana sahaja.

Malah ada juga sebilangan yang hanya hadir bersolat "seminggu sekali" iaitu hari Jumaat disebabkan rasa malu sekiranya tidak hadir solat atas desakan kawan-kawan. Tapi pada hakikatnya tidak "ikhlas" dan jauh sekali takut pada ALLAH!.

Tahukah Anda, Apa Hikmahnya Solat Jumaat?

Ni nak cerita sikit to all readers,

Jumaat dikhabarkan sebagai hari yang istimewa dan mulia. Pada hari Jumaat berlakunya lima peristiwa yang penting, iaitu Allah ciptakan Adam a.s, Allah turunkan Nabi Adam a.s ke bumi, Allah mematikan Nabi Adam, dan pada hari itu juga ada satu saat yang tidak ada seorang hamba pun yang memohon sesuatu, kecuali Allah akan perkenankan permohonannya, selagi ia tidak meminta sesuatu yang haram. Pada hari itu juga akan terjadinya hari kiamat. Tidak ada satu malaikat pun, sekalipun yang amat dekat kedudukannya di sisi Allah, langit, bumi, angin, gunung, juga lautan, melainkan kesemuanya memohon belas kasihan pada hari tersebut.
Imam Al-Ghazali berkata bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu dijadikan Adam a.s. dan pada hari Jumaatlah terjadinya kiamat. Imam Al-Ghazali menambah bahawa Kaab Al-Ahbar (seorang tabiin dan ulama Yahudi yang memeluk agama Islam pada zaman Saiidina Abu Bakar) berkata, burung-burung dan haiwan apabila bertemu satu sama lain pada hari Jumaat mengucapkan “Selamat, selamat hari yang baik”.
Setiap hari Jumaat, Allah s.w.t mengutuskan malaikat ke bumi, mencatat nama mereka yang ke masjid. Malaikat-malaikat akan ke langit menyembahkan apa yang dicatatnya. Allah s.w.t mengampunkan dosa-dosa mereka yang datang ke masjid.
Pada hari Jumaat juga, Allah s.w.t mengutus malaikat ke muka bumi. Di tangan mereka kalam-kalam emas, juga kertas-kertas daripada perak, berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat nama mereka yang masuk masjid, dan mendirikan sembahyang Jumaat. Apabila telah sempurna sembahyang, mereka kembali ke langit lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”

Jikalau diketahui semua mereka yang tak pernah reti-reti apa itu hikmah solat Jumaat, selepas membaca blog ini harap rasanya dengan merangkak mereka pergi bersolat bukan sahaja pada hari Jumaat sahaja namun setiap waktu yang diperintahkan oleh ALLAH.

Apa Firmah Allah pada Kita Hambanya?

Allah s.w.t berfirman yangbermaksud:“Wahai malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”
Begitu besarnya hikmah hari Jumaat atau dalam bahasa Arabnya “Jumu’ah” yang berasal daripada perkataan “jama’a”, bermakna ‘berkumpul’. Berkumpul yang dimaksudkan di sini ialah menunaikan solat dan mendapatkan ilmu (melalui khutbah) dengan ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi’ bersama-sama jemaah lain tanpa mengira warna kulit atau pangkat, kekayaan, dan keupayaan. Pada waktu inilah, nilai ‘manusia itu sama, yang membezakannya hanyalah iman dan taqwa’ terbit tanpa disedari. Oleh hal yang demikian itu, hari Jumaat dikatakan hari untuk umat Islam berkumpul, memanjatkan doa serta membuat pelbagai amal kebajikan untuk mendapat keredhaan dan rahmat daripada Allah s.w.t.
Dari segi syarak, solat Jumaat ialah solat dua rakaat yang dilakukan secara berjemaah dalam waktu Zuhur, pada hari Jumaat di masjid atau tempat-tempat tertentu dan didahului dengan dua khutbah. Hukum solat Jumaat ialah fardu ke atas setiap lelaki Muslim yang memenuhi syarat-syaratnya seperti beragama Islam, akil baligh, berakal, merdeka, bermastautin dan tidak sakit. Oleh itu, jelaslah bahawa solat Jumaat adalah wajib ke atas setiap umat Islam kecuali hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang dapat menunaikan sembahyang Jumaat, maka baginya di sisi Allah pahala seratus orang yang mati syahid. Dan barang siapa meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali tanpa darurat, maka Allah akan mengecap hatinya.”
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu pada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli.” (Al-Jumaah: 9)
Kewajipan solat Jumaat ke atas lelaki Muslim amat jelas. Hikmah dan kebaikan solat Jumaat juga sering disebarluaskan demi menjaga kepentingan solat Jumaat di kalangan lelaki Muslim. Kebenaran daripada al-Quran yang manakah yang hendak disembunyikan, demi mengejar keseronokan duniawi sehingga berkira dengan masa yang tidak sampai dua jam untuk menunaikan solat Jumaat bersama jemaah yang lain.

Tahukah Anda Kepentingan Khutbah Jumaat?

Jangan beri alasan bahawa khutbah yang dibaca oleh khatib membosankan. Itu ilmu. Ilmu yang dicari walau sebentar cuma, pahalanya amat banyak. Ya, kadangkala membosankan bagi kanak-kanak dan remaja sekolah yang masih mentah dalam memahami apa yang disampaikan oleh khatib.
Oleh itu, khutbah Jumaat harus selari dan sesuai dengan pendengarnya. Isu yang dipaparkan tidak perlu besar dan gah seperti tentang dakyah Barat serta gerakan anti Islam yang memang sedia diketahui umum. Sebaiknya khutbah Jumaat membicarakan perkara asas dalam masyarakat Islam dan hubungannya dengan Allah s.w.t.
Perkara-perkara asas yang boleh disentuh adalah seperti kepentingan menjaga saf, mengambil wuduk, kepentingan berbaik sesama jiran, adab berpakaian, hubungan ahli keluarga dan sebagainya. Pihak yang berkenaan harus mengambil peluang menjadikan khutbah sebagai medium terbaik menyampaikan sesuatu apatah lagi dalam suasana masyarakat Islam berkumpul bersama-sama menunaikan solat Jumaat.
Solat Jumaat jika dilakukan dengan sempurna bukan sahaja berfungsi sebagai penghapus dosa, mencegah perbuatan keji dan mungkar serta memantapkan jiwa dan sifat tawaduk dalam diri seperti solat wajib yang lain, malah ia juga berfungsi sebagai majlis ilmu.
Tidak menghormati solat Jumaat dengan berjalan ke sana sini, berseronok bersama pasangan dan sebagainya merupakan perbuatan yang keji. Masyarakat harus tahu hakikat itu. Bertindak menegur mereka yang lalai dan sengaja leka dengan hakikat kewajipan bersolat Jumaat adalah tanggungjawab yang dituntut.
Ibu bapa harus mendidik anak-anak dengan bersungguh tentang kepentingan dan kewajipan solat Jumaat. Sejak anak-anak kecil lagi, mereka harus diberitahu tentang nikmat dan hikmah solat Jumaat. Jangan lupa ceritakan juga keseronokan dan pahala amalan yang kita lakukan bukan sahaja untuk solat Jumaat malahan sepanjang hari Jumaat.
Amalan berterusan pada hari Jumaat seterusnya akan mendidik jiwa supaya sentiasa ingat kepada Allah s.w.t dan hidup bermasyarakat dengan baik setiap hari sehingga ke akhir hayat. Apakah sukar melapangkan masa hanya dua jam hingga tiga jam seminggu untuk menunaikan solat Jumaat yang pahalanya dan kebaikannya meliputi sepanjang hayat?

Harap sesiapa yang membaca post tersebut mendapat hidayah dan terus membuat satu perubahan yang drastik demi kerana ALLAH.





0 ulasan:

Post a Comment