Ada seorang pemuda bertanya kepada saya apakah yang terjadi kepada haiwan-haiwan pada Hari Akhirat nanti? Adakah akan masuk ke Syurga atau Neraka? Atau bagaimana?
Walaupun jawapannya saya tahu, tetapi banyak perkara yang saya tahu dulu telah tidak sah lagi. Ilmu-ilmu yang dulu saya dapati melalui pembelajaran, kuliah, ceramah dan pembacaan perlu dimurnikan dan dipastikan kesahihannya berdasarkan nas yang benar. Jadi, sebelum saya menjawab kepada pemuda itu, saya memeriksa dahulu di arkib soal-jawab al-Ahkam.net:
Berikut ini jawapannya:
“Semua makhluk akan dikumpulkan di hari Kiamat termasuklah binatang, burung dan yang lain2. Keadilan Allah yang amat sempurna di mana kambing yang tidak bertanduk akan menerima pampasan / ganjaran dari kambing yang bertanduk. Allah akan mengarahkan mereka : ‘Jadilah debu!’. Maka berkatalah orang kafir : ‘Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan) ‘(Surah al-Naba’ : 40]. Ini telah diriwayatkan di dalam Hadith Nabi (secara Marfu’) di dalam hadith tiupan sangka-kala”[Ahmad Syakir. Umdah al-Tafsir ‘an al-Hafiz Ibn Kathir, 1/772, Dar al-Wafaa’, 2003].
Ya, mereka menjadi debu. Tidak ke Syurga dan tidak ke Neraka.
Membaca jawapan di atas bisa membuatkan kita berasa insaf dalam banyak aspek. Dalam tulisan ini, saya ingin menyentuh satu aspek yang terngiang-ngiang di fikiran saya beberapa hari ini. Iaitu tujuan apa haiwan-haiwan ini dicipta oleh ALLAH Ta`ala?
Sudah tentunya ada manfaat secara langsung atau tidak langsung kepada alam dan manusia. Khususnya untuk manusia sebagai khalifah di bumi ini. Tidak mungkin sia-sia ALLAH jadikan haiwan dan segalanya.
ربنا ما خلقت هذا باطلا
“Tuhan kami, tidaklah ENGKAU jadikan semua ini sia-sia.”
Saya terbayangkan seekor kucing :
Kucing ini pada Hari Akhirat nanti akan menjadi debu. Terhenti setakat itu. Tidak masuk ke Syurga dan tidak pula ke Neraka.
Sedangkan kita manusia tidak terhenti setakat itu. Kita ada urusan yang lebih besar menanti. Selepas dihisab, kita seterusnya akan diberi nikmat ataupun diazab. Samada menjadi ahli Syurga atau menjadi ahli Neraka.
**Moga-moga ALLAH Ta`ala jadikan kita ahli Syurga dan melindungi kita dari api neraka, amin.
Justeru, kehadiran kucing yang comel ini bukanlah sepatutnya dilayan sekadar untuk diambil manfaat di dunia sahaja. Iaitu hanya untuk menjadi teman bergembira atau bermanja sahaja, tetapi sepatutnya dilihat lebih luas dari itu. Ia adalah ujian ALLAH buat kita yang mana keputusan ujian tersebut hanya kita ketahui pada Hari Akhirat nanti.
Pada seekor kucing yang kita temui di jalanan atau yang kita pelihara ada ujian ALLAH untuk kita. Samada kita berbuat baik atau zalim dengannya, semuanya akan dicatit. Dengan menyedari bahawa ia suatu ujian, maka lakukanlah kebaikan kepadanya. Antara yang baik boleh kita lakukan ialah:
- Menyantuninya.
- Memberinya makan atau minum.
- Menyediakan tempat tinggal.
- Mengubatinya jika ia sakit.
- Menolongnya jika ia terjatuh atau tersekat.
- Menemukan dia dengan rakan-rakan atau ahli keluarganya.
- Dan sebagainya.
Itu semua bisa memberatkan catitan amal pahala kita. Seterusnya dapat mendekatkan kita kepada redha ALLAH Ta`ala dan SyurgaNYA.
Janganlah pula kucing tersebut menyebabkan kita menambah dosa dengan menyepaknya, dengan mengherdiknya, dengan menipunya, dengan menderanya dan lain-lain yang bisa menyakiti hati dan tubuhnya.
Itu jika kucing.
Sama jugalah dengan haiwan-haiwan lain. Pada semua haiwan samada ia boleh dimakan atau tidak, diternak atau tidak, semuanya boleh kita ambil manfaat untuk Hari Akhirat kita, bukan sekadar manfaat dunia sahaja.
Mereka semua akan jadi debu nanti. Tidak kita!
Justeru, di dunia inilah medan kita membenih pahala. Haiwan-haiwan ini boleh menjadi sebab untuk kita beroleh pahala atau dosa. Jadi, manfaatkanlah kehadiran haiwan-haiwan ini untuk nasib yang baik pada Hari Akhirat nanti. Janganlah zalimi mereka. Tetapi, sayangilah mereka dan berlaku adillah. Moga-moga ia memberatkan lagi catitan amal soleh kita, amin…
Haiwan-haiwan ini boleh dijadikan ‘mesin pahala’ kepada kita. Iaitu melalui mereka, kita dapat menjana pahala kebaikan dari sisi ALLAH Jalla wa A`la. Jangan sampai ia menjadi ‘mesin dosa’ kepada kita pula. Jadi, ia terpulang kepada kita untuk memilihnya:
- Memilih untuk mendapat pahala melaluinya. Atau:
- Memilih untuk mendapat dosa melaluinya. Atau:
- Memilih untuk tidak berbuat apa-apa.
Sebelum mengakhiri celoteh ini, ada baiknya kita sama-sama fahami hadith berikut yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:
بينما رجلٌ يمشي بطريقٍ ، اشتدَّ عليه العطشُ . فوجد بئرًا فنزل فيها فشرب. ثم خرج . فإذا كلبٌ يلهثُ يأكلُ الثَّرى من العطشِ . فقال الرجلُ : لقد بلغ هذا الكلبُ من العطشِ مثلَ الذي كان بلغ مني . فنزل البئرَ فملأ خُفَّه ماءً ثم أمسكه بفيه حتى رقِيَ . فسقى الكلبَ فشكر اللهُ له . فغَفر له . قالوا يا رسولَ اللهِ ! وإنَّ لنا في هذه البهائمِ لَأجرًا ؟ فقال : في كلِّ كبدٍ رطبةٍ أجرٌ“Tatkala seorang lelaki sedang berjalan pada sebuah jalan terasalah olehnya dahaga yang sangat. Lalu ia mendapati sebuah sumur dan bersegeralah ia meneruninya untuk minum.Ketika keluar, tiba-tiba dia melihat seekor anjing menjulurkan lidah sambil menjilat-jilati debu kerana sangat haus. Lelaki itu berkata: “Anjing ini sedang kehausan seperti aku tadi”.Lalu turunlah dia kembali ke dalam sumur untuk memenuhi sepatu kulitnya dengan air lalu digigit agar dapat naik kembali. Kemudian ia meminumkan air itu kepada anjing tersebut. ALLAH berterima kasih kepadanya lalu mengampuninya.Para sahabat bertanya:“Wahai Rasulullah, apakah kami akan mendapatkan pahala kerana binatang-binatang seperti ini?”Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menjawab:“Pada setiap yang bernyawa (makhluk hidup) ada pahalanya.”(HR Muslim)
Nah, memang tersedia pahala pada haiwan-haiwan ini untuk kita rebuti, berdasarkan dari kalam Nabi yang mulia, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam di atas! Tinggal kita mahu memetiknya sahaja…
Allahu A`lam.
0 ulasan:
Post a Comment